Pak Amin Pemimpin Pelbagai Cuaca

11:19 PM / Posted by SAMBAL BELACAN / comments (1)

Seorang pemimpin yang hebat akan dikenang melalui kredibiliti dan sumbangannya terhadap bangsa. Bagi mengimbas kembali jasa-jasa seseorang pemimpin itu, dapat kita nilaikan melalui liku-liku perjuangannya melalui aspirasi dan idea-idea yang telah dicurahkan untuk memartabatkan sesebuah bangsa. Jasa seseorang pemimpin akan diukur berdasarkan keberkesanan perancangan pembangunan bangsa bukan sekadar ucapan-ucapan retorik untuk kepentingan survival politik semata-mata.

Masyarakat Iranun amat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang hebat iaitu Pak Amin, di bawah kepimpinannya, masyarakat Iranun menjadi kaum yang terkenal dan dihormati oleh lain-lain kaum, bahkan masyarakat Iranun di Sabah, menjadi idola kepada masyarakat Iranun di Filipina. Keberaniannya menyuarakan pandangan berkaitan hak-hak kaum pribumi khasnya kaum Iranun mendapat pengiktirafan dari kebanyakan kaum di Malaysia malahan terdapat sesetengah kaum berasa cemburu kerana kaum Iranun memiliki pemimpin sedemikian rupa. Hal ini pernah disuarakan sendiri beberapa rakan dari kaum lain dan mulanya saya terkejut kerana rupanya kaum lain pun kagum akan kepimpinan beliau, tetapi.... kita sendiri macam mana? Beliau tidak pernah jemu untuk meningkatkan taraf serta menaikkan semangat dan kesedaran kepada masyarakat Iranun agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah kaum-kaum lain. Beliau memupuk supaya kita bangga dengan diri kita sendiri dan seterusnya menjadi kaum yang dikagumi.

Sememangnya saya tidak begitu mengenali beliau secara peribadi tetapi saya mengetahui liku-liku perjuangan beliau sebagai pemimpin perintis masyarakat Iranun di Sabah. Bagi saya beliau merupakan orang pertama yang membuktikan dan membuka mata dunia bahawa Orang Iranun juga punya keupayaan untuk memimpin, buktinya Iranun di Filipina turut mendapat suntikan semangat perjuangan untuk memperjuangan nasib mereka di Filipina.

Saya menjangkakan ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya terhadap Pak Amin. Mungkin ada yang menyangka saya cuba mengampu pemimpin, tetapi terpulang kepada saudara kerana kita bebas memberi pandangan cuma yang penting mesti berani mengakui yang benar kalaulah itu hakikatnya.

Yang menghalang kemajuan

9:55 PM / Posted by SAMBAL BELACAN / comments (1)


Dalam konteks politik Malaysia, terdapat golongan tertentu yang cuba menghalang kemajuan dan keamanan negara. Walaupun mungkin bukan niatnya tetapi tindakan golongan ini menjadikan negara kita kurang kompetetif. Golongan ini cuba menggunakan pelbagai isu demi meraih simpati rakyat. Isu perkauman dan agama menjadi isu yang wajib untuk dipersembahkan dalam pementasan teater politik mereka.

Kini timbul pula isu komunis ekoran ada pihak-pihak tertentu yang cuba membawa masuk Chin Ping ke Malaysia. Walau apapun alasannya, jika Chin Ping dibenarkan masuk ke Malaysia, ini akan mewujudkan situasi yang tidak akan menguntungkan sesiapa malahan akan mengguris perasaan orang-orang Melayu khasnya yang pernah mengalami keganasan komunis seperti kata pepatah “luka lama berdarah kembali”. Bahkan lebih daripada itu yang menjadi kerisauan, fahaman komunis “mati hidup kembali” di bumi bertuah Malaysia. Ini memandangkan perkembangan politik dan ditambah dengan masalah keruntuhan moral golongan muda dibimbangi jarum-jarum komunis akan berjaya meresap masuk, jadi jangan sampai “sudah terhantuk baru terngada” tidak ada gunanya.

Dalam pada itu, ada juga pihak-pihak mengajak kita berdebat dan berpecah atas nama Islam serta mengajak kita mundur dan lemah dengan menidakkan kemajuan serta ilmu duniawi. Mereka selalu bercerita soal kehebatan tamadun Islam silam tetapi pada masa yang sama mereka cuba menghalang kebangkitan Islam di Malaysia dengan alasan bukan kemajuan atau pembangunan yang dituntut oleh Islam kerana menrut tafsiran mereka yang dimaksudkan dengan kemajuan Islam itu adalah kekuatan rohani dalam bentuk amal ibadah semata-mata. Pihak berkenaan tidak mengakui bahawa mereka menghalang kemajuan umat Islam. Mungkin ada perlunya mereka menunjukkan penglibatan mereka dalam ekonomi dan pembangunan untuk membuktikan bahawa mereka tidak anti kemajuan.

Malaysia mereka anggap bukan Islamic, justeru itu mereka bersekongkol dengan dengan parti yang berfahaman sosialisme dan liberalisme untuk membentuk kerajaan yang Islamic. Saya pernah bersoal-jawab dengan seorang penyokong kuat parti tersebut dan dalam soal-jawab saya mengutaran persoalan yang saya fikir penting “Bolehkan parti kamu membentuk kerajaan yang lebih Islamic sedangkan parti kamu membentuk pakatan dengan puak sosialisme dan liberalisme?”. Penyokong tersebut menjawab dengan penuh yakin “kenapa tidak, sebab kami yang pegang kunci!”. Saya pun tidak pasti apa yang penyokong tersebut maksudkan dengan perkataan “pegang kunci” kerana kita boleh lihat dewasa ini pihak mana yang menguasai pakatan tersebut.

Kelmarin saya bertemu seorang dengan rakan lama satu universiti, beliau menimbulkan rasa kebimbangan berkaitan situasi politik semasa. Menurut beliau lagi, “ekonomi dunia dah merudum, politik tanahair pula gawat, inilah masalah politik kedai kopi”. Ada betulnya juga kata-kata beliau itu, sebab sedar atau tidak, sekarang kita terlalu banyak berpolitik. Bukan hanya menjelang pilihanraya kita berpolitik tetapi berdasarkan pemerhatian saya para politikus akan terus berpolitik sehingga pilihanraya seterusnya lima tahun akan datang. Ini bermakna politikus akan berpolitik selama 365 hari dalam setahun didarab 5 tahun maka jumlahnya 1825 hari lamanya berpolitik. Mungkin inilah yang dimaksudkan politik kedai kopi oleh sahabat saya itu, tetapi saya lebih melihat ini sebagai politik starbucks. Sekiranya keadaan ini berterusan, bila masanya kita bercakap soal ekonomi dan pembangunan yang seharusnya diberi keutamaan. Pilihanraya Presiden Amerika dah berakhir, Barrack Obama diistihar Presiden Amerika Syarikat, kita di Malaysia PRU-12 dah berakhir, rakyat telahpun membuat keputusan, SPR telahpun mengumumkan keputusan rakyat, kabinet telahpun dibentuk, tetapi politikus khasnya pembangkang masih lagi kemaruk politik.

Keadaan politik yang tidak stabil ini menyebabkan para pelabur asing berasa ragu untuk datang melabur. Tunjuk perasaan dan pelbagai lagi demonstarasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang. Ini semua membuatkan pelabur asing hilang keyakinan. Jadi bagaimana negara nak maju kalau FDI berkurangan atau kurang memberangsangkan. Akibatnya rakyat akan kehilangan pekerjaan, ekonomi akan parah, pengangguran meningkat, masalah sosial pula akan meningkat. Jadi dimanakah peranan para pembangkang yang menggelarkan diri sebagai pakatan rakyat yang bertujuan membela nasib rakyat, kalau tindakannya tidak mencerminkan sebagai pembela rakyat. Sepatutnya para pembangkang perlu membantu kerajaan dalam usaha mengatasi kesan kemelut ekonomi global terhadap Malaysia. Bukannya mencanangkan kepada dunia soal masalah dalaman seperti kemelut politik dan perpaduan “tak kan masalah suami-isteri dihebahkan kepada jiran tetangga”, hinggakan dikhabarkan Lee Kuan Yew turut masuk campur menguruskan soal rumahtangga kita.

Jadi diharapkan para pengarah pelakon teater politik, sedaralah rakyat dah letih dengan pementasan politik yang tidak bernokta, rakyat dahagakan pembangunan bukannya cerita panglipur lara. Para pembangkang kalau ia pun tidak mampu menyumbang idea bernas kepada kerajaan untuk kemashlahatan rakyat, memadailah dengan berhenti mengkucar-kacirkan politik tanahair....pastinya rakyat yang berkesedaran akan mengucapkan terima kasih.

Pemburu Pemburu Kuasa

8:38 PM / Posted by SAMBAL BELACAN / comments (2)


“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” Begitulah pepatah Melayu yang menggambarkan betapa pentingnya perpaduan dan bahayanya perpecahan. Pepatah ini juga memberi isyarat bahawa isu perpaduan bukanlah sesuatu yang asing sebaliknya merupakan isu sejagat yang seharusnya diberi perhatian sewajarnya dalam keasyikan berpolitik. Berkaitan hal ini, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa seringkali wujud pihak yang bersikap lempar batu sembunyi tangan dan sanggup menjadi gunting dalam lipatan atas dasar untuk merosakkan dan mengganggu-gugat kesejahteraan negara demi kepentingan politik peribadinya. Golongan ini saya anggap sebagai golongan fahaman pelampau politik yang seharusnya tiada tempat di Malaysia.

Dalam sebuah negara majmuk, percantuman kaum, kebudayaan, ekonomi dan politik adalah sumber nadi Malaysia dan tanpanya kita akan musnah. Keamanan dan pembangunan negara memerlukan kewarasan politik dan sikap menerima serta toleransi. Saya bangga menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia sangat bertuah kerana nikmat kemakmuran yang dikecapi serta kebebasan yang dinikmati untuk melakukan apa saja asalkan tidak melanggar peraturan pihak berkuasa. Kita selama ini dapat hidup dengan cara kita sendiri, kecuali gangguan parasit-parasit dan golongan fanatik politik yang mengganggu kententeraman masyarakat. Hanya satu sumber kebimbangan besar rakyat Malaysia iaitu golongan fanatik politik dan berfahaman perkauman.

“Dapatkah suatu bangsa ynag tidak bersatu-padu itu memelihara keselamatan dan keamanan negaranya?”. Negara kita lahir ke dalam peta dunia dengan usaha kita bersama. Tiada faedahnya kita mendedahkan diri kepada kemungkinan yang tidak menguntungkan sesiapa melainkan musuh-musuh dari luar. Keamanan serta kemakmuran negara bergantung kepada saling mengerti serta semangat muhibbah di kalangan rakyat dan ini mestilah menjadi perhitungan utama bagi semua warganegara Malaysia.

Jika saudara-saudara masih ingat tentang dokumentari tv bersiri yang bertajuk “crocodile hunter” tetapi kali ini saya bukan bercakap soal pemburu buaya tetapi berkaitan kumpulan tertentu aliran politik fanatik yang saya anggap sebagai pemburu kuasa atau saya istilahkan sebagai “political hunter”. Jika pihak ini diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan negara, ia merupakan suatu dinamis politik yang bemasalah kerana mereka ini boleh merupakan ancaman kepada perpaduan dan kesejahteraan negara. Musuh-musuh dalam selimut ini terdiri daripada 4 jenis:

· Anasir-anasir subversif, yang kita tahu tujuan mereka tidak kurang demi kepentingan politik peribadi.

· Oportunis-oportunis dan para parasit yang hidup subur di mana saja mereka lihat ada kesempatan dan sedia berbuat apa saja untuk keuntungan diri sendiri.

· Anasir-anasir anti-nasional iaitu mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab sosial dan merupakan golongan taksub yang sedia menyertai sebarang pakatan hinggakan sanggup menganjurkan demonstrasi jalanan, mogok lapar dan sebagainya yang diluar batasan budaya kita sebagai masyarakat yang terkenal dengan sopan-santun. Sudah lupakah kita dengan slogan “budi bahasa budaya kita?”.

· Golongan yang putus cinta atau kecewa kerana agenda peribadi tidak kesampaian.

keempat-empat golongan di atas merupakan kumpulan Perosak Rakyat yang sentiasa memanipulasi minda rakyat. Kumpulan ini pada pandangan mata kasar rakyat seolah-olah sedang berlayar dalam kapal yang satu, melayari lautan politik sedangkan secara realitinya walaupun sekapal tetapi masing-masing mempunyai ketetapan arah tuju pelabuhan yang hendak dituju. Satu pihak menuju ke pelabuhan ideologi yang liberalisme bertujuan memberikan kebebasan tidak terbatas dan ini sangat berbahaya kepada masyarakat majmuk kerana isu sensitif akan sentiasa mengambil tempat, manakala pihak lain menuju ke pelabuhan ideologi sosialisme berhasrat membawa negara ke arah satu parti yang mengongkong hak-hak asasi. Sedangkan pihak yang satu lagi menuju ke pelabuhan taksub yang kononnya demi kepentingan agama hinggakan sanggup mengkafirkan orang Islam yang lain yang masih mengucap kalimah syahadah (Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah). Oleh itu marilah berfikir sejenak... Mampukah kapal yang dinaiki tiga pihak ini sampai ke pelabuhan? Bolehkah dua pihak yang lain berkompromi demi pihak yang satu lagi atau pelabuhan yang mana satukah harus dituju dahulu?...